17

Hujan turun lebat lagi.. Natalie bangun malas dari katil, sedang tangan-tangannya erat memeluk tubuh. Seperti hari-hari lain yang sejuknya hingga ke tulang, otot-otot dan isi si gadis kurus ini pun terketar-ketar.

Perlahan dan malas dia menapak ke jendela. Langsir ungu yang tergantung beralun-alun dalam perbalahannya dengan angin-angin dingin. Angin ingin masuk, langsir kata jangan.. langsir kata jangan.. langsir kata jangan, jangan, jangan. Namun.. angin-angin itu tak peduli, mereka tak pernah peduli.

Sedang Natalie menghulurkan tangannya untuk mecapai daun-daun tingkap, sempat dia terpandang ke bawah. Tiada apa-apa. Cuma yang ada ialah sebatang tiang lampu yang cahaya tungstennya berbalam-balam kuning kekaratan, ditemani kegelapan malam dan kedinginan hujan. Biru dan kuning menghasilkan hijau kata hati Natalie. Jika ini filem Stanley Kubrick, mungkin lampu itu sedang memainkan peranan simbolik yang besar dalam penceritaan. Tetapi ini bukan cerita, ini kehidupan sebenar. Stanley Kubrick pun sudah mati.. baru tadi Natalie penat memaki hamun filem terakhirnya.. bosan. Berdosakah dia kerana berasa keji terhadap karya seorang lagenda?

Pang! Dedaun tingkap terhempas ke bingkai jendela, Natalie terkejut, angan-angannya tercantas. Sempat juga dia mecarut dua tiga perkataan... Setan! Terima kasih angin-angin sejuk. Setann! Pelik juga jika difikirkan, tadi mereka bukan main lagi nak masuk dalam. Bodoh punya angin. Angin-angin tak ada pegangan.. ibarat lalang ditiup angin.

Tertutupnya jendela, bilik yang tadi kucar-kacir tiba-tiba jadi aman, jadi nyaman seperti ketika pendigin hawa baru sahaja ditutup. Indah. Natalie duduk di bangku malas di sudut bilik, tangannya mencapai suis lampu yang ada di lantai. Serta-merta cahaya kuning-kuning romantik menerangi bilik.. nak kata cerah tidak, gelap pun tidak. Cukup-cukup romantik. Tetapi sedang Natalie mengalihkan punggungnya ke kedudukan lebih selesa, di fikirannya terbanyangkan bertapa romantiknya lagi jika ada lelaki bersamanya di sini, mendakapnya erat supaya dia boleh menjelirkan lidah dah meninggikan hidung kepada angin-angin tadi. Alangkah romantiknya jika dia sedang duduk di atas riba seorang lelaki yang gagah, tampan dan berbudi pekerti. Mungkin dia boleh belajar sesuatu tentang budi bahasa.

Tapi itu ilusi, Natalie duduk seorang..

About this entry