Hidup Tuan Presiden

I didn't write this, but I sure wish I did. 

I first read this article in the College library back in 2003. It's taken from The Malay College Magazine 1998, written by a Khairul from 5 Science 1.

Enjoy.

***

Hidup Tuan Presiden

Saya masuk ke pejabat Tuan Presiden. Tidak seperti semalam dan semalamnya, Tuan Presiden menyambut saya dengan riang.

"Halim, aku dah dapat"

"Dapat apa tuan?"

"Saya nak pecat Puan Rina"

"Pasal apa tuan?"

"Tak apa, nanti aku cari sebabnya."

Sudah 20 tahun saya bekerja untuk Tuan Presiden. Saya sudah masak benar dengan perangainya yang suka berahsia. Dia memang hebat, berwibawa dan berkarisma. Semua kualiti kepimpinan ada padanya. Dia sudah memimpin negara lebih 20 tahun.

Sebagai Menteri Hal Ehwal Sebaran Umum, saya merupakan mulut Tuan Presiden. Semua dasar-dasar Tuan Presiden saya sebarkan. Dengan tugas inilah saya berjaya membesarkan 3 orang anak saya. Dua orang tokoh korporat yang hampir berjaya dan seorang anak perempuan yang hidup cara barat di New York. Semuanya masih bujang, tapi saya sudah mempunyai dua orang cucu.

Esoknya Kementerian saya mendapat arahan untuk mencanangkan pemecatan Puan Rina, Menteri Hal Ehwal Pohon-Pohon Hijau. Saya tidak mengerti apa sebabnya. Bila diajukan soalan, Tuan Presiden hanya berkata, "Tunggu meeting malam ini". Saya mengganguk. Sememangnya saya berdiri teguh di belakang Tuan Presiden.

Malam itu mesyuarat bermula jam 8 malam. Saya tiba lewat setengah jam kerana berhenti solat Maghrib dan Isyak di masjid. Sesampainya saya di sana, Puan Rina sedang berucap bermati-matian mempertahankan diri.

Seperti biasa, saya duduk di sebelah Encik Sarip Saripudin dan Encik Azizi Azimuddin. Saya lihat Tuan Presiden terlentok-lentok mengantuk. Dua tiga orang menteri lain sibuk berbincang fasal perlawanan golf mereka pagi tadi. Beberapa orang menteri wanita pula sedang membelek-belek majalah Vogue sambil berdebat tentang fesyen-fesyen terbaru dari Paris.

Saya bertanya kepada Encik Sarip Saripudin tentang perkahwinan terbarunya dengan seorang artis tempatan. Dia hanya tersenyum.

"Kahwin dah lama, nikah aje minggu lepas," jawabnya ringkas. Saya mula terbayang yang indah-indah.

Sempat juga saya bertanya tentang kes Puan Rina. Katanya Puan Rina dipecat kerana merasuah pohon-pohon hijau supaya tidak berfotosintesis. Jadi tiada lagi makanan dan oksigen.

Saya terdiam. Pada hemat saya ada juga benarnya tuduhan itu. Pokok juga ada nyawa, ada kehendak. Kalau ada kehendak, maknanya boleh terima rasuah. Ya, Tepat sekali! Bijak sungguh Tuan Presiden.

3 jam kemudian, Puan Rina selesai berucap. Tuan Presiden baru terjaga daripada lenanya. Sedikit air liur basi membasahi lengan bajunya. Semua jemaah menteri mula berbincang mengenai isu itu.

"Saya cadangkan kita minum dulu," Encik Rahmat Sudin menjerit riang.
"Bijak... bijak," puji Tuan Presiden.

Jadi kami pun minum teh atau kopi yang telah disediakan serta dibawa oleh pelayan yang comel-comel belaka itu. Semasa minum, Tuan Presiden sempat berbisik kepada saya, "Lim, ada bawa Viagra?"
"Ada, dalam kereta," jawab saya.
"Aku minta dua biji"
"Bila tuan nak?"
"Lepas meeting"

Saya kembali ke tempat duduk saya. Mesyuarat disambung lagi. Jam sudah satu pagi.

"Oleh kerana hari sudah lewat malam, saya putuskan Puan RIna dipecat daripada kerajaan dan Parti Lipas Kudung," kata Tuan Presiden.

"Saya nak balik, nak tidur," Encik Azarudin Azirlah bersuara lemah.

"Baiklah, kalau semua nak balik, angkat tangan dan sokong saya."

Semua menteri mengankat tangan. Saya juga ikut serta agar boleh pulang lebih cepat.

"Jadi semua orang setuju Puan Rina dipecat?"

"Ikut suka tuanlah."

Esoknya saya melawat Puan Rina di rumahnya. Sesampainya saja saya disana, Puan Rina sedang berucap di hadapan orang ramai yang simpati kepadanya. Saya lihat ramai di kalangan pendengar adalah kaum wanita dan kanak-kanak. Sedikit sangat orang lelaki yang hadir.

"Ini petanda baik, Puan Rina gagal menarik sokongan kaum lelaki," saya berkata kepada setiausaha saya yang gemar mengangguk.

Saya melihat jam di tangan. Friday, 1320 hrs. Saya semakin bersemangat. Saya bergegas pulang ke Kementerian dan melaporkan hal ini kepada Tuan Presiden, dengan harapan agar gaji saya naik lagi.

"Bagus!" kata Tuan Presiden yang sedang makan tengah hari.

Saya lantas berlari mendapatkan setiausaha akhbar saya. Saya arahkan supaya dipanggil wartawan-wartawan daripada semua jenis media. Selepas 10 minit sahaja, dewan persidangan sudah penuh dengan wartawan. Cahaya lampu kamera tidak terhitung banyaknya.

Saya dengan bangga memaklumkan tentang pergerakan Puan Rina yang gagal menarik sokongan rakyat. Saya juga sempat memberi amaran kepada semua rakyar agar menjauhi gerakan anti-kerajaan. Tidak lama selepas itu, Encik Mohd. Azirlah, timbalan saya masuk. Saya menegurnya kerana lewat. Dia hanya tersenyum.
"Saya Sembahyang Jumaat, tuan."
Saya terlopong.

Esoknya saya meghadap Tuan Presiden lagi. Dia nampak riang seperti semalam.

"Puan Rina dah tiada."

"Tuan Presiden puas hati?"

"Aku puas hati? Belum lagi Lim."

"Apa salah Puan Rina?"

"Dia merasuah pohon-pohon hijau supaya mengancam keselamatan negara. Dia pengkhianat, dia pembelot!"

"Dia merasuah pakai apa tuan? Duit ke baja?"

Tuan Presiden terdiam. Air mukanya berubah. Matanya merah menyala. Saya mula berasa serba salah.

"Maaf Tuan Presiden, saya minta diri dulu." Saya bergegas keluar tanpa berani menoleh.

Hari itu rakan saya Encik Sarip Saripudin terpampang di dada akhbar. Beliau mengeluarkan kenyataan yang menarik mengenai Puan Rina. Beliau bukan bercakap sebagai tokoh politik, tetapi sebagai seorang ulama. Beliau berkata pemecatan Puan Rina adalah amat tepat dan amat dituntut oleh syarak.

Saya sendiri kagum dengan kenyataan Encik Sarip. Kejayaan beliau mendalami ilmu agama sehingga bergelar ulama dalam hanya dua hari amat mengagumkan. Memang kami pernah bersekolah pondok bersama-sama di Bagan Seraai, tetapi dia lari selepas dua bulan berada di sana, seminggu lebih awal daripada saya.

Esoknya saya menerima surat pemecatan saya sebagai Menteri Hal Ehwal Sebaran Umum. Dua jam selepas pemecatan saya itu, sepasukan polis bersenjata lengkap memecah masuk rumah saya. Saya ditahan di bawah Akta Ketenteraman Awam. Saya dituduh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

Esoknya, akhbar-akhbar penuh dengan wajah-wajah teman saya. Mereka semua menyokong tindakan Tuan Presiden memecat saya. Encik Sarip muncul lagi dengan hukum-hukum agamanya, sambil saya terperosok di dalam lokap.

Hidup Tuan Presiden! Kami berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan. Bila tiba masanya pucuk dimakan kambing, kami golongan akar akan tetap di sini.

Hidup Tuan Presiden!!

-Khairul-
5 Sains 1

***

Saudara Khairul, in case you are reading this and you have concerns regarding me publishing it here, do drop a comment or send me an email. I will take the necessary actions.

About this entry